Isnin, 14 Jun 2010

Pemergian Seorang Tokoh Politik Islam






Salam Perjuangan sekalian
,

Pada 14 Jun 2010 bersamaan 3 Rajab 1431H,rakyat Malaysia,khususnya Parti Islam Se-Malaysia telah kehilangan seorang lagi pemimpin islam yang amat dikenali ramai,tidak kira kawan ataupun lawan,iaitu Al-marhum Ustaz Hassan Syukri. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS dan juga Setiausaha Agung PAS semasa era Al-marhum Ustaz Yusof Rawa dan juga Ustaz Fadzil Noor.

Beliau juga dikatakan sebagai "Orang Kuat" PAS negeri Selangor disebabkan pengalaman beliau yang begitu mendalam dalam perjuangan ini. Setiap kali aku pergi ke Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar untuk mendengar kuliah ilmu dan ceramah agama,semestinya Al-marhum Ustaz Hassan mesti ada sekali,kadang-kadang sebagai penceramah,kadang-kadang juga sebagai orang awam biasa. Beliau amat dikenali ramai kawan dan lawan,dengan sifat beliau yang begitu lemah lembut. Pernah seseorang berkata kepada saya, "kalau kau nak tanya mengenai asal usul PAS kat negeri Selangor ni,lebih baik kau tanya Ustaz Hassan Syukri,dia ni banyak pengalaman,bukan itu saja,ingatan dia memang kuat,sampai boleh mengingat sejarah-sejarah berpuluh tahun dulu lagi". Sememangnya perjuangan beliau dalam politik islam di negara ini adalah suatu pengorbanan yang terbesar dalam sejarah.

Semoga Roh Al-Marhum Ustaz Hassan Syukri dicucuri Rahmah dan Baraqah, dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. AL-FATIHAH.



Disini disertakan berita pemergian Al-marhum Ustaz Hassan Syukri di dalam laman web harakahdaily.net

Ustaz Hassan Shukri kembali ke rahmatullah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.

Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara pemimpin parti yang awal menziarahi allahyarham di kediamannya di Taman Melewar.

Turut menziarah ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad.

Ustaz Nasharudin menyifatkan parti kehilangan tokoh yang merupakan kamus dan rujukan parti berikutan kematian Ustaz Hassan Shukri.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bachok berkata, baru dua hari lepas, allahyarham menerangkan struktur Perlembagaan PAS kepada tetamu luar PAS di JKR 10, Kota Bharu.

“Saya kenal Ustaz Hassan sejak awal perjuangan di Malaysia,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menziarahi petang ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menyifatkan allahyarham adalah tokoh perjuangan Islam yang asal dan kekal hingga kini.

“Kita hilang satu sumber rujukan yang besar,” katanya.

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Selangor kehilangan seorang tokoh yang berjuang untuk rakyat.

“Saya pernah berbincang dengan beliau bagaimana nak bantu rakyat yang tiada rumah dengan menggunakan wang zakat di atas tanah kerajaan,” ujarnya yang juga Menteri Besar Selangor.

Katanya, Selangor telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah sebelum ini.

Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 8.30 pagi esok di Surau Taman Melewar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HAYATILAH...