Rabu, 16 Jun 2010

Isbal-Realiti Ummah Zaman Kini





Salam Perjuangan sekalian,

Isu ini bukanlah isu yang baru, akan tetapi isu sebegini seperti dipandang "enteng" oleh kita semua,umat Islam tidak kira di Malaysia ataupun di negara-negara yang lain. Dalam masyarakat kita sekarang ini, sebagai contoh didalam solat, ada dalam kalangan jemaah tidak menitikberatkan soal isbal, iaitu melabuhkan pakaian solat sehingga mencecah ke tanah. Pernah suatu ketika semasa aku belajar di sekolah teknik dulu, imam akan berkata sebelum memulakan solatnya, "rapatkan saf,luruskan saf,pastikan kain tidak melebihi paras buku lali". Aku pun pelik, hati tertanya-tanya kenapa imam berkata demikian. Selepas aku berjumpa dengan ustaz-ustaz, barulah diketahui perkara sebenarnya mengenai konsep isbal itu.

Pada hakikatnya, isbal ini bukanlah sahaja dititikberatkan didalam solat semata-mata, akan tetapi ia juga ditegah untuk dilakukan dalam kehidupan seharian kita. Justeru, aku telah sediakan suatu artikel mengenai apakah yang dimaksudkan dengan isbal dari segi syaraknya dan hukum-hukum serta pengaplikasian dalam kehidupan seharian kita. Insya Allah dengan sedikit perkongsian ini dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada sahabat-sahabat yang lain, Kerana Allah Untuk Ummah!

Sumber asal dari http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

Tentu masih ramai di antara kita yang mungkin tidak mengetahui bahkan mungkin juga sama sekali tidak pernah mendengar perkataan "Isbal". Atas sebab tidak tahu dan tidak pernah mendengar itu jugalah, ramai dari kalangan kaum lelaki muslim yang tidak mengendahkannya. Sekaligus tidak mengetahui bahawa ia merupakan suatu perbuatan yang terlarang dari sudut pandangan agama.

Malah sudah menjadi trend (budaya), bahawa isbal adalah suatu bentuk wajah masa kini yang barang siapa tidak melakukannya, maka akan kelihatan seakan-akan ketinggalan zaman dan tidak moderate. Dari itu, tulisan kali ini akan sekali lagi mengupas isu berkenaan isbal dari sudut al-Qur'an dan as-Sunnah yang sahih serta berpandukan kefahaman para ulama bermanhaj Salafus Soleh.

Maksud Isbal:


المسبل إزاره هو الذي يطول ثوبه ويرسله إذا مشى

Maksud: Orang yang mengisbalkan (melabuhkan) pakaian, dia adalah orang-orang yang menjulurkan (memanjangkan) dan melabuhkan pakaiannya sehingga mencecah ke bumi (melebihi had). (Rujuk: Imam Ibnu Hajar, Mukaddimah Fathul Bari, 1/126)

Isbal menurut syar'i adalah melabuhkan (menjulurkan) pakaian serta membiarkannya terurai ke bawah sehingga melampaui batasan yang telah ditetapkan di dalam syari'at (melebihi mata kaki), dan perkara tersebut tidak terhad kepada isbal dengan niat sombong.

Apabila membahaskan berkenaan fenomena isbal ini, para ulama sebahagiannya mengklasifikan di antara hadis-hadis yang menyentuh isbal dengan disertai kesombongan dan juga perbuatan isbal yang tidak disertakan dengan niat sombong.

Dengan itu, untuk membolehkan para pembaca dapat melihat hadis-hadis tersebut dengan lebih baik berdasarkan perbahasan yang dimaksudkan, maka di sini diletakkan dua sub-tajuk yang membawakan hadis-hadis tersebut berdasarkan pembahagian di antara isbal dengan niat sombong dan juga isbal tanpa disertai niat sombong.

Isbal Tanpa Niat Sombong

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ مِنْ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ

Maksud: Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam, bahawa beliau berkata:

Apa yang terjulur (labuh) ke bawah melebihi kedua mata kaki dari pakaian, maka ia berada di neraka. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, 18/89, no. 5341)

Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab:

بَاب مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ فَهُوَ فِي النَّارِ

Maksud: Apa yang menjulur labuh ke bawah (dari pakaian) sehingga melebihi mata kaki, maka ia di neraka. (Rujuk: Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, 18/88)

وعن المغيرة بن شعبة رضي الله عنه قال رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم أخذ بحجزة سفيان بن أبي سهل فقال يا سفيان لا تسبل إزارك فإن الله لا يحب المسبلين

Maksud: Dari al-Mughirah B. Syu'bah, beliau melihat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam mendatangi Sufyan dan menahannya, lalu berkata:

Wahai Sufyan, janganlah engkau melakukan isbal, kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak mencintai orang-orang yang isbal. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah, 10/423, no. 3564. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Silsilah Ahadis ash-Shahihah, 10/241, no. 4004. Shahih Sunan Ibnu Majah, 8/74, no. 3574. dan Shahih al-Jami' ash-Shoghir, 28/372, no. 13872)

عَنْ يَعْقُوبَ بْنِ عَاصِمٍ أَنَّهُ سَمِعَ الشَّرِيدَ يَقُولُ

أَبْصَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يَجُرُّ إِزَارَهُ فَأَسْرَعَ إِلَيْهِ أَوْ هَرْوَلَ فَقَالَ ارْفَعْ إِزَارَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ قَالَ إِنِّي أَحْنَفُ تَصْطَكُّ رُكْبَتَايَ فَقَالَ ارْفَعْ إِزَارَكَ فَإِنَّ كُلَّ خَلْقِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ حَسَنٌ

فَمَا رُئِيَ ذَلِكَ الرَّجُلُ بَعْدُ إِلَّا إِزَارُهُ يُصِيبُ أَنْصَافَ سَاقَيْهِ أَوْ إِلَى أَنْصَافِ سَاقَيْهِ

Maksud: Daripada Ya'kub B. 'Ashim sesungguhnya beliau mendengar asy-Syarid berkata:

Dari kejauhan, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam melihat seorang lelaki yang menjulurkan (melabuhkan) pakaiannya (seluarnya) sehingga terseret. Maka beliau pun bergegas menemuinya (berlari-lari anak) menuju kepada orang tersebut. Lalu beliau menegurnya:

"Angkatlah kain pakaianmu dan bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala".

Maka orang tersebut pun berkata:

"Sesungguhnya aku seorang yang memiliki kaki yang bengkok (seperti huruf X) dan kedua lutut-ku tidak stabil ketika berjalan".

Lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam tetap menyatakan:

"Angkatlah pakaianmu, kerana sesungguhnya semua ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah bagus".

Maka setelah peristiwa tersebut, tidaklah kelihatan lelaki tersebut melainkan dengan pakaiannya (seluarnya) sentiasa terangkat hingga pada tengah-tengah kedua betisnya atau di bawah sedikit. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 39/470, no. 18656. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Silsilah ash-Shahihah, 4/15, no. 1441)

Daripada hadis ini, ia turut menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam datang menegur kepada pelaku isbal tanpa menanyakan terlebih dahulu sama ada si pelaku itu melakukan isbal dengan sombong atau pun tidak. Tetapi, apa yang jelas dari zahir hadis tersebut adalah, Nabi terus sahaja menegurnya supaya meninggalkan isbal, biar pun si lelaki tersebut telah memberikan alasan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HAYATILAH...